Umno Blogger Directory

Terimalah Hakikat, Allah Taala Sedang Menurunkan Bala Bencana Di Selangor, Bukan Ujian Lagi!

Ada juga penyokong Pakatan Rakyat yang cuba menyedapkan hatinya sendiri menyatakan krisis air yang sedang berlaku di Selangor sekarang, adalah ujian bagi orang-orang yang bertaqwa. Justeru, kata mereka, rakyat dan penduduk di Selangor perlu pasrah, berserah, dan bersabar dengan ujian yang diturunkan oleh Allah Taala ke atas negeri Selangor. Kata mereka lagi, selepas ujian ini, Selangor, penduduk dan rakyatnya pasti akan bertambah maju kerana redha dengan ujian Allah Taala.

Sekali dengar, sekali baca, seimbas lalu, memang kelihatan betul sangatlah kenyataan tersebut. Sememangnya umat Islam diwajibkan bersangka baik kepada Allah Taala. Malah dalam pembelajaran tasauf, sabar menduduki antara 9 maqam hati tertinggi selain tawakal dan tawaduk.

Malangnya mereka terlupa satu perkara. Ujian yang Allah Taala berikan sebagai satu peringatan, kemudiannya disusuli dengan bencana seperti yang berlaku kepada umat-umat terdahulu. Memang hak Allah Taala untuk memberikan seberapa banyak ujian kepada hamba-hamba-Nya tetapi Allah Taala juga telah berjanji bahawa setiap ujian yang ditimpakan kepada hamba-hamba-Nya berada dalam keupayaan hamba-hamba-Nya untuk mengatasi ujian tersebut dengan jalan sabar dan bertawakal kepada-Nya.

Mungkin ramai yang sudah lupa krisis bekalan air pada tahun 1998 yang menjangkau tempoh dua bulan. Pada ketika yang sama, krisis kepimpinan sedang berlaku. Anwar Ibrahim sedang bergelut untuk menjatuhkan Tun Dr. Mahathir dan merampas jawatan Perdana Menteri bagi mengelakkan dia dibicarakan di bawah tuduhan menyalahgunakan kuasa dan liwat.

Selama dua bulan menyaksikan sebuah negara Khatulistiwa seperti Malaysia, mengalami musim kemarau yang agak teruk. Paras air di semua empangan menurun secara drastik. Catuan bekalan air terpaksa dibuat secara besar-besaran di seluruh negara. Paling teruk terjejas adalah Kelantan yang pada waktu itu permohonan pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan bagi menaiktarafkan sistem penyaluran air, telah ditolak mentah-mentah oleh Menteri Kewangan. Apatah lagi, perjudian pentadbiran Nik Aziz yang menyerahkan pengurusan air kepada syarikat dari Eropah, akhirnya bukan sahaja tidak menambahkan mutu perkhidmatan dan pembekalan, bahkan Kerajaan Negeri Kelantan pula telah disaman dan terpaksa membayar gantirugi bernilai ratusan juta ringgit kepada syarikat asing itu.

Bayangkanlah, hujan turun dengan lebat, tetapi paras air di empangan tetap tidak meningkat, bahkan terus menurun. Catuan memang memeritkan apatah lagi mereka yang tinggal di rumah-rumah pangsa. Mereka terpaksa mengangkut air dari bawah sama ada mendaki anak tangga mahupun menaiki lif.

‘Ujian’ krisis bekalan air pada penghujung tahun 1990-an itu berakhir apabila Anwar Ibrahim disumbatkan ke dalam penjara. Mungkin secara kebetulan, tetapi mungkin juga bencana krisis air pada waktu itu memang ada kena-mengena dengan Anwar Ibrahim, keadaan terus pulih apabila Anwar Ibrahim dijatuhi hukuman penjara 14 tahun secara berasingan bagi dua kesalahan iaitu rasuah salah guna kuasa dan liwat.

air

Sepanjang Anwar Ibrahim berada dalam penjara dari tahun 1999 sehinggalah 2005, tiada sebarang krisis air di Malaysia. Namun sebaik-baik sahaja Anwar Ibrahim dikeluarkan dari penjara, krisis air kembali berlaku. 2008 apabila Pakatan Rakyat berjaya menguasai Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Perak (sehingga Februari 2009) dan Kelantan, sudah ada tanda-tanda krisis air akan berulang. Ingatan keras telah diberikan kepada pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor bahawa Selangor berpotensi dan berhadapan dengan risiko bekalan air yang sangat serius. Rezab simpanan air di Selangor tidak mampu menampung permintaan sehingga penghujung tahun 2014. Justeru, projek Loji Rawatan Langat II yang dihentikan oleh Pakatan Rakyat kerana berebutkan kontrak, perlu disambung semula dengan seberapa segera.

Namun para pemimpin Pakatan Rakyat bercakap pandai. Pelbagai dalih dan alasan yang mereka berikan termasuklah projek berkenaan adalah untuk kroni dan untuk UMNO mengumpul dana pilihanraya di samping mengkayakan segelintir individu.

Bulan kedua 2014, krisis air sudah mula berlaku. Selangor menjadi negeri pertama yang mencatu bekalan air bersih ke atas penduduk dan rakyatnya. Sekaligus akan menyebabkan komuniti industri beransur-ansur keluar dari Selangor dan menarik semula pelaburan mereka kerana asas terpenting iaitu air, tidak stabil.

Ujiankah ini? Atau sebenarnya ini merupakan bencana daripada Allah Taala setelah Allah Taala memperingatkan dengan pelbagai cara tentang risiko kehilangan bekalan air di negeri ini? Dan ingatan tersebut bukannya sekali, bahkan berkali-kali.

Krisis bekalan air di Selangor kali ini, terlalu hampir serupa dengan krisis bekalan air pada tahun 1999. Adakah Anwar Ibrahim sebagai puncanya memandangkan Allah Taala sendiri memberi jaminan bahawa kiamat dipercepatkan dengan tangan (perbuatan) manusia sendiri. Masih adakah lagi yang mahu membela Anwar Ibrahim semata-mata kerana ego dan fahaman politik mereka sedangkan apabila Allah Taala menurunkan bala, ia akan meliputi semua orang termasuklah abid, ulama, cendekiawan, pakar, mahupun marhein dan kafirin. Tiada yang terkecuali daripada bencana tersebut, melainkan mereka yang sentiasa beringat-ingat dan diberikan hidayah untuk keluar dari kawasan bencana itu sepertimana yang diceritakan di dalam al Quran.

 

MYKMU.NET: DEMI SEBUAH PERJUANGAN
Klik Sumber Blog diatas untuk layari lain-lain artikel laman web tersebut. Hanya blog popular ranking Alexa kurang dari 100,000 yang menyokong Umno disiarkan oleh admin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Copyright © 2013. All Rights Reserved.