Teks Ucapan Datuk Noraini Ahmad – Usul Menyokong Ucapan Dasar Presiden
TEKS UCAPAN
YB DATUK NORAINI AHMAD
KETUA PERGERAKAN WANITA BAHAGIAN PARIT SULONG
merangkap
EXCO PERGERAKAN WANITA UMNO MALAYSIA
PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2013
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
1) Ybhg Tan Sri Pengerusi Tetap/ YBhg Datuk Timbalan Pengerusi Tetap
2) YAB Datuk Sri Mohamad Najib Tun Abdul Razak
Presiden UMNO
3) YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Presiden UMNO
4) YB Naib-Naib Presiden UMNO
5) YBhg Datuk Sri Shahrizat Jalil
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia
6) YB Ketua pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
7) YB Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
8) YB/YBhg Ali-ahli Majlis Tertinggi
9) YAB Datuk Seri Mohamed Khaled bin Nordin
Pengerusi Perhubungan UMNO Johor
10) Perwakilan Mahasiswa Nasional dari dalam dan luar Negara
11) Sidang Perwakilan dan pemerhati sekelian
Syukur Alhamdulillah, dengan izin Allah dapat kita sekali lagi berhimpun di dewan yang penuh keramat ini sempena Perhimpunan Agong UMNO tahun 2013.
Nama saya Noraini Ahmad, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Parit Sulong merangkap Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, mewakili Pergerakan Wanita UMNO tampil untuk turut sama membahaskan ucapan dasar Presiden
Sidang Perwakilan yang saya kasihi,
1. Ada dua perkara penting berlaku pada tahun ini. Pertamanya, Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan yang keduanya, pemilihan dalam parti UMNO ini sendiri.
2. Biar di asak, dicemuh, difitnah, UMNO dan Barisan Nasional (BN), tetap mendapat mandat rakyat pada PRU13. Setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Sri Najib Tun Razak, Presiden UMNO, merangkap Perdana Menteri yang cemerlang menerajui jentera UMNO dan BN dalam memenangi pilihan raya yang lepas.
3 Kepada rakyat Malaysia pula, terimakasih daun keladi, sokongan rakyat kami hargai. In shaa Allah kami tidak akan lupa diri.
4. WANITA UMNO juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Dato’ Sri Presiden kerana menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti bersama gandingan mantap Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai Timbalan Presiden, juga menang tanpa bertanding.
5. Tidak lupa tentunya kepada Dato’ Seri Shahrizat Abd Jalil, yang terus diberikan mandat padu untuk menerajui Pergerakan Wanita, serta semua barisan kepimpinan di kalangan kaum bapa, Wanita, Pemuda dan Puteri, yang telah terpilih.
Tan Sri/Datuk Pengerusi dan Sidang Perwakilan Sekalian,
6. WANITA UMNO ingin merakamkan jutaan TERIMA KASIH kepada YAB Presiden Parti yang telah mengiktiraf WANITA sebagai tulang belakang UMNO. In sha Allah, kami WANITA UMNO tidak akan mensia-siakan pengiktirafan ini.
Peranan Wanita UMNO tidak boleh kita nafikan, terutamanya dalam gerak kerja di setiap pilihanraya. Melalui Jalinan Rakyat, Wanita lah yang bertanggungjawab membawa keluar pengundi yang di kenal pasti untuk menyokong BARISAN NASIONAL. Malah pihak lawan sendiri memperakui kehebatan Wanita UMNO dan mengakui betapa benteng Wanita UMNO sukar ditembusi. Malah Setiausaha Agong DAP juga memperakui betapa kaum ibu menjadi nadi kekuatan BN.
7. Mandat sudah diberi. Janji harus kita tepati. Dalam memenuhi janji kepada rakyat, Wanita UMNO ingin mencadangkan kepada pucuk pimpinan parti agar perlunya ada pendekatan baru dalam menunaikan janji PRU13. Utamakan rakyat di kawasan yang telah memberi kemenangan kepada BN. Dengar keluhan mereka. Teliti apa lagi yang masih kekurangan. Pastikan pembangunan di tempat ini terus meningkat. Jangan sampai “yang kita kejar tak dapat, yang kita kendung berciciran”. Kita wajar menjaga dengan baik kubu kuat kita terlebih dahulu, dan dalam waktu yang sama tidak boleh mengetepikan kawasan yang belum menang.
Datuk Timbalan Pengerusi dan Sidang Perwakilian Sekalian,
8. Sesungguhnya wanita di negara ini telah melalui pelbagai perubahan dan pembaharuan. Ini adalah hasil dari perjuangan pucuk kepemimpinan UMNO dan BN sejak dulu lagi. Dari bidang perniagaan sehingga ke jawatan tertinggi di sektor awam (kerajaan) dan sektor swasta semuanya ada wanita. Mengambil hanya sedikit contoh, Gabenor Bank Negara dan tujuh(7) Ketua Setiausaha (KSU) adalah Wanita. Mereka adalah pelaksana dasar utama parti dan kerajaan. Ini juga adalah hasil usaha Wanita UMNO bagi memajukan kedudukan wanita di negara ini.
9. Terima kasih UMNO. Terima kasih Presiden parti kerana terus dan sentiasa memberi sokongan dan kepercayaan kepada golongan hawa di negara ini.
Tan Sri Pengerusi dan Sidang Perwakilian Sekalian,
9. Irene Nativadad, Presiden Global Summit of Women, Amerika Syarikat, menyatakan Malaysia adalah merupakan satu-satunya negara di Asia Pasifik yang memberikan perhatian dan penghormatan kepada wanita. Malah peningkatan penyertaan wanita dalam proses membuat keputusan di sektor awam dan swasta ke tahap 30 peratus adalah satu pengiktirafan dari kabinet kepada wanita di Malaysia.
10. Peranan Wanita perlu terus diperkasakan secara berterusan di semua peringkat. Menurut Laporan Malaysian Economic Monitor; November 2012 Report oleh Bank Dunia kadar penyertaan wanita Malaysia dalam pasaran kerja pada tahap yang masih lagi di tahap 47% berbanding Negara Asean lain, Singapura (60%) and Thailand (70%). Peratusan ini kecil kalau kita bandingkan dengan jumlah pelajar wanita di pusat pengajian tinggi awam dan swasta ketika ini, iaitu 67 %
- Di sini Wanita UMNO juga ingin mencadangkan perlaksanaan undang-undang untuk kerja waktu anjal. Ini akan memberi peluang pekerja wanita untuk menyesuaikan masa permulaan dan masa tamat mereka setiap hari di sekitar satu set diperlukan “jam teras”.
- Perlaksanaan ini telah terbukti berjaya dibeberapa Negara berpendapatan tinggi seperti; Finland, negara paling banyak mempunyai syarikat (92%) yang mengamalkan peraturan kerja yang fleksibel, Sweden (86%), Australia (85%) dan Amerika Syarikat sebanyak 79%. Cadangan ini boleh membantu mencapai sasaran Rancangan Malaysia ke-10 iaitu 55% wanita di Malaysia berkerjaya.
- Ke arah memperkasakan Wanita juga, Kerajaan telah merangka pelbagai program bagi mencapai penyertaan wanita dalam proses membuat keputusan di sektor awam dan swasta. Antara inisatif yang diambil ialah penubuhan Akademi Inovasi Wanita dan Program Pengarah Wanita. Wanita UMNO menyokong penuh usaha dan inisatif tersebut, cuma apa yang ingin ditegaskan dan ditekan adalah pemantauan dan penglibatan wanita Melayu dan Bumiputera yang harus diberikan perhatian yang serius terutama daripada segi jumlah mereka. Ini kerana setakat ini, penyertaan wanita Melayu dan Bumiputera adalah dalam peratusan yang sangat kecil.
- WANITA ingin mencadangkan agar sebagai permulaan semua GLC dapat mengambil peserta yang telah mengikuti program ini dengan jayanya sebagai Ahli Lembaga Pengarah, bukan seorang tapi sekurang-kurangnya dua(2) orang. Jadi, Barulah GLC ni boleh menjadi contoh kepada syarikat swasta yang lain.
Tan Sri Pengerusi dan Sidang Perwakilan sekalian,
15. Alhamdullilah, Wanita UMNO kini mempunyai keahlian seramai 1.37 juta orang. Angka ini dijangka akan meningkat dari semasa ke semasa melalui usaha dan perancangan pucuk pimpinan Wanita UMNO. Dalam apa keadaan sekalipun Wanita UMNO tetap setia menjunjung perjuangan parti. Ini janji kami, ikrar Wanita UMNO dalam memperkasakan bahtera ibu pertiwi.
15. Maka, derap langkah harus tangkas bagai gelombang dua belas, iaitu lambang citra kehebatan langkah srikandi. Ini yang harus diwarisi supaya wanita Melayu terus mara dan dihormati. Umat Melayu tak kan ketandusan srikandi yang setia dan sanggup berkorban demi ibu pertiwi.
16. Kami, ahli Pergerakan Wanita UMNO akan bergerak semuafakat bagai kata peribahasa Melayu rentak sedegam, langkah sepijak. In shaa Allah dengan kewibawaan jurumudi dan kesetiaan anak kapal, kita akan sama-sama belayar memenuhi mandat dan harapan yang diletakkan di bahu kami sebagai tulang belakang parti.
17 Wanita UMNO tidak lupa akan pesanan pemimpin terdahulu, betapa melalui masa akan timbul dan wujud isu baru, perkembangan baru, cabaran baru dan situasi baru. Ini semua pastinya memerlukan UMNO menanganinya dengan cara baru. Generasi muda atau baru akan muncul di kalangan orang-orang Melayu, dengan aspirasi dan tuntutan-tuntuan serta cita-cita baru. Pada masa itu, UMNO perlu bersedia menangani cabaran-cabaran semasa. Bentuk perjuangan UMNO pada masa-masa akan datang pastinya akan berubah.
18. WANITA dengar dengan teliti dan menyokong transformasi parti yang digariskan oleh Presiden parti. Hakikatnya kini teknologi komunikasi telah meruntuh sempadan yang menghalang penyebaran maklumat, sama ada ianya benar atau palsu. Wanita UMNO akan memainkan sebagai jurucakap dan pembela parti dalam berhadapan dengan tohmahan dan fitnah pihak pembangkang.
Yakinlah dengan WANITA, Datuk Presiden. Kami bukan hanya pandai bercakap sahaja, kami akan pastikan, kami akan jayakan dan kami akan laksanakan.
Tan Sri Pengerusi & Para perwakilan yang disayangi,
19. Wanita percaya selain dari jalinan rangkaian yang mantap, kualiti taat setia. Kesungguhan yang tinggi juga melayakkan Wanita UMNO diiktiraf sebagai tulang belakang UMNO. Pada PRU13 wanita UMNO membuktikan kebolehan dan kemampuan dengan memenangi 8 kerusi Parlimen dari 10 yang ditandingi. Ia adalah jumlah terbanyak di kalangan Wanita BN.
20. Jalinan Rakyat telah berjaya memainkan peranan mereka dengan baik sekali bagi membantu semua calon dalam UMNO dan Barisan Nasional. Terima kasih kepada semua jentera parti terutama Jalinan Rakyat dan Skuad Sayang yang merupakan penggerak utama kepada kejayaan UMNO dan Barisan Nasional pada PRU13. Inilah antara sumbangan terbesar wanita UMNO kepada parti yang dicintai ini.
21. Hasil kejayaan ini tidak meletakkan wanita UMNO dalam situasi yang selesa. Wanita Umno akan sentiasa bersedia dan akan terus memberi sumbangan bagi membantu UMNO dan kerajaan bagi mentadbir negara tercinta ini. Sudah semestinya cabaran masa akan datang bukan hanya untuk WANITA UMNO tetapi juga cabaran kepada parti dan negara. Wanita tetap akan bersama pucuk kepimpinan UMNO sebagai tulang belakang dalam menghadapi sebarang halangan dan cabaran yang mendatang.
22. Ucapan terima kasih tidak terhingga jua kepada YAB Presiden kerana memberi kepercayaan dengan melantik 7 orang wanita dalam kabinet, 2 sebagai Menteri dan 5 sebagai Timbalan Menteri. Walaupun angka ini mewakili 12(%) peratus jawatan menteri dan timbalan menteri dalam Kerajaan, ianya tetap bermakna bagi wanita Malaysia secara keseluruhannya, tapi belum cukup Datuk Seri.
Cekal Setia Memikul Amanah
Berjuang Menjulang Harapan Bangsa
Tak Kenal Istilah Lelah Dan Kalah
Pengorbanan Wanita UMNO Sepanjang Masa
Tan Sri Pengerusi dan Perwakilan Dihormati Sekalian,
Kepimpinan UMNO telah memainkan peranan memperkasa wanita samada dalam jawatan kerajaan, GLC, korporat dan badan-badan sosial. Dasar dah cukup cantik. 30 peratus pelaksana dalam sector awam, 30 peratus dalam swasta. Memang cukup cantik tapi pelaksanaan belum tercapai. Macam tunggu buah tak gugur. Wanita berharap yang Dayuk Presiden dapat tengok perkara ini. Perlu pastikan pelaksanaan ambil kira juga peratus jumlah wanita melayu supaya mereka tak tercicir.
WANITA mencadangkan agar Kerajaan meletak KPI dalam semua agensi dan syarikat-syarikat ini agar pelaksanaan dapat dipantau secara bersekala.
WANITA pasti kalau cadangan ini dapat dilaksanakan, ianya akan memberi satu lonjakan semangat kepada wanita keseluruhan terutamanya kepada ahli dalam mengharungi masa hadapan yang berliku dan penuh cabaran. Lagipun, pengundi wanitalah yang turut memberi mandate kpd Barisan Nasional dalam PRU yang lepas
27. Menang sudah, pemilihan parti pun sudah. Sekarang masanya untuk kita semua fokus ke arah menjayakan program transformasi negara, seterusnya meewajahkan masa depan parti sebagaimana yang disebut dalam ucapan dasar Presiden. Hakikatnya, untuk menang majority 2/3, parti mesti diperkukuhkan. Antaranya adalah berkaitan dengan keahlian UMNO itu sendiri. Lepas tu tumpuan juga perlu dalam soal daftar pemilih.
WANITA ingin mencadangkan agar diujudkan satu bahagian Khas Daftar Pemilih agar dapat ditubuhkan di ibu pejabat UMNO. Jabatan ini mesti lengkap dengan semua fakta semasa berkaitan laporan ahli yang berdaftar dengan SPR dapat dibentang dan di pantau secara berterusan. Bukan last minit baru nak check daftar pemilih.
PENUTUP
Saya akhiri ucapan saya dengan Gurindam Pesan-Berpesan
Kepada Allah sentiasa bermunajat,
agar urusan mendapat berkat.
Kepada Rasulullah perbanyakkan selawat,
agar mendapat syafaat di akhirat.
Kepada pemimpin setia dan taat,
agar parti kukuh dan kuat.
Kepada cendekia kasih dan hormat,
agar ilmu mendatangkan manfaat.
Kepada jelata pemimpin berkhidmat,
agar amanah memenuhi mandat.
Kepada perwakilan marilah kita beringat,
agar sentiasa menjadi obor rakyat.
Sekian. Wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh. Wanita UMNO mohon menyokong.
Laman Rasmi Pergerakan Wanita UMNO Malaysia
Source Blog
Arr… kan dah kater…. btul laaa … aku cakap korang x
caya … tgk … admin dah kupas dah isue nie …