Laman Rasmi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Tindakan Main Taktik Kotor Tanda DAP Takut Dan Terdesak
TELUK INTAN, 30 Mei - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyelar DAP yang dianggap menggunakan taktik kempen kotor untuk menang pilihan raya kecil (PRK) Teluk Intan.
Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata tindakan sedemikian menggambarkan DAP takut tidak mampu memenangi kerusi Parlimen Teluk Intan.
“Pelbagai taktik kotor pembangkang gunakan, dan kita (BN) tidak akan tunduk kepada tekanan. Malah kita ambil tindakan proaktif dan tidak akan mengikut seperti mereka,” katanya selepas hadir majlis sarapan pagi bersama 25 Badan Bukan Kerajaan (NGO) kaum India di sini hari ini.
BN menurunkan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong, yang juga bekas anggota Parlimen kawasan itu untuk bertanding pada PRK Teluk Intan, dan DAP mencalonkan Dyana Sofya Mohd Daud, setiausaha politik kepada Penasihat DAP Lim Kit Siang.
Muhyiddin berkata selain itu, ceramah besar-besaran membabitkan calon dan pemimpin pembangkang yang diadakan malam tadi turut melambangkan mereka tidak menghormati kemangkatan Almarhum Sultan Azlan Shah.
Almarhum Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada Rabu dan dikebumikan lewat petang semalam di Makam Diraja Kuala Kangsar. Perak kini dalam tempoh berkabung selama 100 hari dan dalam tempoh seminggu pertama, semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan dibatalkan.
Pada PRK Teluk Intan, pihak pembangkang melemparkan pelbagai tohmahan terhadap BN dan calonnya Mah, selain didakwa melempar cat hitam dan merah terhadap beberapa poster Mah serta mencontengnya dengan perkataan ‘bodoh’.
Mah sebelum ini turut mendakwa pembangkang menyebarkan maklumat palsu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), meminta penduduk Teluk Intan dating ke pejabatnya untuk mendapatkan sumbangan kewangan.
Berita palsu ini menimbulkan rasa tidak puas hati orang ramai apabila gagal memperoleh sumbangan itu.
Menyentuh kempen BN, Muhyiddin berkata jentera BN akan menggunakan tempoh terakhir berkempen hari ini untuk terus menarik sokongan pengundi, dengan memberi tumpuan kepada beberapa kawasan tertentu.
Muhyiddin berkata penjelasan berterusan oleh jentera parti bagi menjawab pelbagai tohmahan pembangkang, khususnya mengenai kos hidup, cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan rasuah diterima dengan baik.
“Saya percaya isu-isu ini tidak akan berlarutan,” katanya.
Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, timbalan perdana menteri berkata kaum India yang mewakili kira-kira 20 peratus pengundi kawasan itu turut mempunyai peranan besar untuk menentukan kemenangan BN di Teluk Intan.
Laman Rasmi Pemuda UMNO Malaysia
Klik Sumber Blog diatas untuk layari lain-lain artikel laman web tersebut. Hanya blog popular ranking Alexa kurang dari 100,000 yang menyokong Umno disiarkan oleh admin.
Pemuda UMNO Dan NGO Di P.Pinang Buat Laporan Polis Terhadap Rayer
NIBONG TEBAL, 27 Mei – Beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pemuda UMNO di Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima R.S.N Rayer kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dalam beberapa ceramah kempen pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor, baru-baru ini.
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), di sini.
Antara yang membuat laporan polis itu ialah Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Pemuda UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Pemuda UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Pemuda UMNO Balik Pulau, Gabungan NGO Islam Pulau Pinang, Gerakan Belia 4B Balik Pulau dan Nibong Tebal, Majlis Belia Barat Daya, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Barat Daya dan Pekida Barat Daya.
Ketua Pemuda Nibong Tebal Norheisham Ismail berkata pihaknya mahu polis mengggunakan Akta Hasutan 1948 bagi menyiasat Rayer yang dalam ceramahnya semasa berkempen untuk calon DAP Ramkarpal Singh Deo berulang kali menghasut rakyat dengan menyebut ‘UMNO Celaka’.
“Ungkapan biadab dan kurang ajar Rayer itu menyebabkan 3 juta anggota UMNO di seluruh negara marah,” katanya selepas membuat laporan
polis itu.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Balik Pulau Hisham Abdul Hamid berkata pihaknya mahu polis mengambil tindakan tegas terhadap Adun berkenaan kerana kenyataannya itu boleh menggugat keamanan dan keselamatan negara serta dengan sengaja membuat provokasi.
“Kami desak Rayer menarik balik kenyataannya dan memohon maaf…jika beliau gagal berbuat demikian, Pemuda UMNO sedia menghadapi apa sahaja untuk parti keramat milik orang Melayu ini,” katanya.
Laman Rasmi Pemuda UMNO Malaysia
Klik Sumber Blog diatas untuk layari lain-lain artikel laman web tersebut. Hanya blog popular ranking Alexa kurang dari 100,000 yang menyokong Umno disiarkan oleh admin.
Mah Ada Pengaruh Dalam Kerajaan Untuk Bantu Warga Teluk Intan – Khairy
TELUK INTAN, 19 Mei – Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan perlu membuat pertimbangan bijak dengan memilih calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong yang terbukti mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat kerana pengaruhnya dalam kerajaan.
Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin berkata Mah, anak tempatan Teluk Intan, yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan persekutuan dan negeri itu dilihat mampu menyelesaikan isu tempatan.
“Walaupun berdepan calon pembangkang yang juga merupakan seorang beliawanis, namun kita yakin pertimbangan rakyat Teluk Intan akan memberi sokongan kepadanya yang berpengalaman sebagai Anggota Parlimen selama dua penggal serta Anggota Dewan Undangan Negeri selama satu penggal,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Pemuda BN di sini, hari ini.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis berasingan, beliau berkata PRK Teluk Intan bukan pertandingan ‘ratu cantik’ tetapi medan untuk rakyat memilih wakil mereka untuk memperjuangkan kemajuan dan pembangunan kawasan itu.
“Saya risau kalau pilih calon berdasarkan paras rupa yang tidak tahu mengenai Teluk Intan, apa akan jadi kepada kawasan ini. Bagaimana nasib rakyat di sini,” katanya.
Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata Pemuda BN akan menggerakkan seluruh jenteranya melalui pelbagai program seperti siri ceramah, program santai serta turun rumah ke rumah bagi meraih sokongan pengundi Teluk Intan terutamanya pemilih golongan muda yang merangkumi 20,905 orang.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Pemuda BN juga kini membentuk Jawatankuasa Khas Bertindak CBP (Cukai Barang dan Perkhidmatan) untuk member penerangan mengenai pelaksanaan cukai itu secara berterusan melalui siri ceramah serta platform media sosial.
Beliau berkata usaha penerangan ini digerakkan selepas mendapati saluran rasmi kerajaan bagi penjelasan CBP ini tidak mencukupi terutama untuk golongan muda.
“Kita dapati CBP perlu mempunyai penerangan ‘political treatment’ (yang mempunyai unsur-unsur politik) untuk menepis serangan dan tohmahan parti pembangkang yang memberi maklumat tidak tepat serta mengelirukan,” katanya.
Mengulas mengenai desakan Veteran UMNO supaya keanggotaan ibu kepada calon DAP, Yammy Samat dibatalkan, Khairy berkata ia bukan keutamaan parti pada masa sekarang.
“Kita ada proses tatatertib dalam parti dan prosedur yang telus, kita tidak boleh menggantung atau membatalkan keanggotaan seseorang begitu sahaja, ada prosesnya dan ia tidak perlu dilakukan secara terburu-buru,” katanya.
Laman Rasmi Pemuda UMNO Malaysia
Klik Sumber Blog diatas untuk layari lain-lain artikel laman web tersebut. Hanya blog popular ranking Alexa kurang dari 100,000 yang menyokong Umno disiarkan oleh admin.